Tuesday 3 August 2010

Perayaan Hari Orang Asal Sedunia 9 Ogos - Implementasi UNDRIP untuk Kehidupan dan Kesinambungan Martabat Orang Asal


Kenyataan oleh Joan Carling, Secretary General bagi Asia Indigenous Peoples Pact (AIPP)

(read the English version here)

9 Ogos 2010


Pada tahun 1994, Persidangan Agung PBB telah mengambil keputusan untuk merayakan Hari Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos setiap tahun. Ini merupakan salah satu daripada pencapaian terbesar dalam penat lelah perjuangan Orang Asal di peringkat tempatan sehinggalah di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan pengikhtirafan identiti tersendiri dan hak kolektif bersama yang tidak boleh dipisahkan daripada Orang Asal.

Salah satu lagi pencapaian terbesar bagi golongan masyarakat Orang Asal sedunia ialah apabila Persidangan Agung PBB telah mengadaptasi dan menerima Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) pada 13 September 2007.

Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) yang kini merupakan sebahagian daripada perundangan antarabangsa hak asasi manusia. UNDRIP menetapkan piawaian minima bagi pengikhtirafan hak kolektif bersama Orang Asal yang perlu dituruti oleh pihak kerajaan, agensi-agensi PBB, pendana-pendana dan program-program berkaitan dengan Orang Asal. Selain daripada kerajaan Bangladesh yang tidak bersetuju, kerajaan-kerajaan di Asia secara keseluruhannya telah bersama-sama mempersetujui dan menerima adaptasi Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP). Ini bermaksud, pihak kerajaan yang telah bersetuju, mempunyai tanggungjawab secara moral dan juga politik, untuk menuruti Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP), sabagai sebahagian daripada tanggungjawab bersama menghormati hak asasi manusia, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Dengan populasi mencecah 200 juta, Asia merupakan benua yang mempunyai populasi Orang Asal yang terbesar di dunia. Majoriti Orang Asal di Asia merupakan golongan yang terpinggir dan tertindas di kalangan masyarakat, yang hidup di bawah kadar kemiskinan yang tertinggi dan mempunyai akses yang terhad kepada keperluan sosial yang asas dan tidak diberi peluang untuk terlibat dalam politik dan juga proses-proses membuat keputusan. Orang Asal seringkali dianggap sebagai golongan minoriti dan identiti mereka masih tidak diikhtiraf, ini seterusnya menafikan hak kolektif bersama Orang Asal seperti yang tertera di Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP).

Sebagai contoh di Thailand dan Malaysia, masih banyak golongan Orang Asal yang masih belum diberikan hak kewarganegaraan, yang telah menyebabkan golongan Orang Asal tidak dapat menikmati keperluan sosial yang asas, seperti yang dinikmati oleh golongan masyarakat yang lain.

Situasi ini telah menyebabkan Orang Asal menghadapi masalah eksploitasi dan rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta; penindasan budaya melalui pelan-pelan komersil; penafian Izin Makluman Awal, Bebas dan Telus (FPIC) ke atas perkara yang memberi kesan kepada Orang Asal, ini termasuklah pembentukkan perundangan, polisi dan program tanpa melibatkan Orang Asal. Ini menjadi lebih teruk lagi, apabila tindakan mitigasi dan adaptasi bagi krisis perubahan iklim yang diambil oleh pihak kerajaan dan pihak lain, seperti perladangan kelapa sawit besar-besaran, pembinaan projek mega empangan dan termasuk juga REDD Plus (Usaha mengurangkan emisi melalui penerokaan dan pemusnahan hutan).

Situasi ini telah mengancam kehidupan dan kesinambungan masyarakat Orang Asal di seluruh Asia. Selagi pihak kerajaan menafikan pengikhtirafan Hak Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri yang perlu hidup dengan hak kolektif bersama – terutamanya sekali ke atas Tanah,Wilayah dan Sumber – ketidakadilan sosial yang sedang berlaku kepada Orang Asal akan bertambah teruk lagi. Oleh itu, ianya merupakan satu tanggungjawab yang penting bagi pihak kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap permintaan Orang Asal di seluruh Asia, mengadakan dialog yang berkesan mengenai pengikhtirafan Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri, dan membina kerjasama dalam mengatasi isu-isu yang berkenaan dengan pihak kerajaan dan juga masyarakat Orang Asal.

Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) menyediakan satu rangka kerja yang kritikal dalam membina hubungan yang baik di antara pihak kerajaan dan golongan masyarakat Orang Asal dalam seruan untuk menghormati dan mengamalkan Hak Orang Asal. Ia juga menyediakan langkah-langkah untuk mengatasi konflik di antara pihak kerajaan dan masyarakat Orang Asal dengan cara yang aman dan damai. Adaptasi ataupun penerimaan kerajaan-kerajaan di Asia terhadap Deklarasi Hak Orang Asal (UNDRIP) sekarang harus diambil tindakan positif, agar menghentikan diskriminasi yang berlaku dan pihak kerajaan harus menghentikan penafian hak ke atas Orang Asal sebagai golongan masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri dan hak kolektif bersama.

Apabila kita merayakan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia bersama-sama dengan pihak kerajaan, agensi-agensi PBB, pendana tempatan dan juga antarabangsa, kita juga mesti mencari jalan yang bermakna agar hubungan yang terjalin berjangka masa lama, menuju kesedaran hak kolektif bersama Orang Asal yang akan menyumbangkan kepada keamanan, keadilan, kesama-rataan, dan pembangunan yang mapan dan lestari untuk semua.

Sempena Perayaan Hari Orang Asal Sedunia, seruan kepada kesemua saudara-mara dan keluarga Orang Asal seluruh dunia, mari kita bersama-sama kekalkan dan kuatkan perjuangan kita terutamanya sekali di peringkat komuniti, dan meluaskan dan memperkasakan lagi solidariti dan kerjasama di peringkat negara masing-masing dan juga di peringkat benua, dan seterusnya di seluruh dunia, bersama-sama menuju kesedaran dan aspirasi yang sama untuk mengekalkan identiti dan martabat kita sebagai masyarakat Orang Asal!

BERSAMA-SAMA MERAYAKAN HARI ORANG ASAL SEDUNIA
DENGAN MARTABAT DAN SOLIDARITI!

No comments: